Selasa, 10 Jun 2014

Pameran Herba Malaysia 2014



Pameran Herba Malaysia (PHM) 2014 dianjurkan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menjadi platform kepada usaha memperluaskan jaringan kerjasama, penyelidikan, pembangunan dan komersialisasi dalam kalangan usahawan tempatan.

Pendekatan ini dijangka dapat mempertingkatkan kualiti, keselamatan dan efikasi produk herba tempatan setanding produk antarabangsa. Ini selari dengan peningkatan permintaan kepada produk berasaskan herba di pasaran dunia yang diramal mencapai tahap USD93.15 bilion (RM299.29 bilion) pada 2015.

Pasaran herba tempatan pula dianggarkan meningkat kepada RM29 bilion pada 2020. PHM 2014 menyediakan platform kepada pengusaha produk herba untuk meneroka peluang pasaran di dalam dan luar negara.


Program berkenaan menghimpunkan 45 syarikat pengusaha produk herba membabitkan 75 ruang pameran. Selain usahawan, pameran itu juga menghimpunkan pengeluar produk herba dan penyelidik, sekali gus meningkatkan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk herba tempatan. 

Malaysia perlu terus mengambil peluang ini kerana negara kaya kepelbagaian biologi dan salah satu daripada 12 negara mega biodiversiti.  Dianggarkan hampir 60 peratus daripada ubat-ubatan sedia ada terhasil sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada terbitan hasil semula jadi.

Sekiranya kepelbagaian biodiversiti negara ini dapat terus dibangunkan dan dieksploitasi dengan baik tanpa mengabaikan pemuliharaan ekosistem, ia akan menjadi satu bentuk komoditi penting.