Sabtu, 14 Jun 2014

Pengasas Jai Networks Penjara 10 tahun dan Denda RM50 juta


Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk serta isteri dihukum penjara 10 tahun dan enam tahun serta denda berjumlah RM50 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 189 pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM170 juta dan mengambil deposit daripada orang awam secara haram.



Hakim Datuk Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Datuk Dr. Jailani Jabar, 54, serta isterinya, Datin Dr. Latifah Taib, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.

Dia dan isterinya, masing-masing dihukum penjara empat dan dua tahun bagi setiap 189 pertuduhan pengubahan wang haram tersebut namun mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak.


Jailani yang merupakan tertuduh pertama didenda RM29 juta atas 106 pertuduhan melibatkan nilai RM98.7 juta manakala Latifah pula didenda RM21 juta atas 83 pertuduhan membabitkan nilai RM71.3 juta.



Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan sejumlah hampir RM170 juta antara bulan Februari 2006 dan Oktober 2007.
Mengikut pertuduhan, kes-kes melibatkan:
  • pembayaran deposit
  • ansuran bulanan sembilan buah kereta termasuk jenama BMW
  • pembelian empat buah rumah
  • dua buah lot rumah kedai
  • satu lot kilang
  • selain transaksi kemasukan wang menggunakan akaun syarikat ke akaun peribadi masing-masing.
Pasangan itu didakwa menerima deposit sebanyak RM222 juta dari orang awam tanpa lesen daripada Bank Negara Malaysia (BNM)


Sumber: Utusan