Isnin, 30 Jun 2014

Alasan & Hukum Orang Tidak Berpuasa di Malaysia


Selamat menyambut bulan Ramadhan bagi tahun 2014 ini. Majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam sangat bersyukur dapat berjumpa dengan bulan Ramadhan sekali lagi tahun ini.

Tidak pula bagi mereka yang kaki ponteng puasa. Inilah bulan yang paling tidak digemari mereka. Kerana mereka perlu berlakon, menipu dan merasuah.

Berlakon? Berlakon sakit itu ini kerana tidak mahu berpuasa.

Menipu? Tipu orang sekeliling dengan memberi berjenis-jenis alasan tidak boleh puasa.

Merasuah? Mengupah orang lain untuk membeli makanan untuk mereka. Kalau anda orang perempuan Islam yang tolong golongan mereka ini, anda juga bersubahat.

Apakah alasan yang biasa anda dengar daripada geng tidak berpuasa ini? Banyak betul kan...

Alasan Yang Biasa Kita Dengar


1. Sakit gastrik

Kononnya perut tidak boleh kosong dan tidak tahan lapar jadi kena makan selalu. Kalau bulan lain tidak ada masalah gastrik pula. Pesalah bukan cakap kosong, tetapi sudah siap ada bukti MC daripada doktor yang dia sakit gastirk. Kalau tak makan boleh mati.

Untuk pengetahuan sekalian, penulis sendiri ada penyakit gastrik. Masa di bangku sekolah dahulu siap pengsan apabila cikgu tahan kelas lewat keluar rehat. Tetapi setiap kali bulan Ramadhan tidak ada masalah berpuasa kecuali apabila tidak menjaga makan minum. Jangan minum jus oren dan jangan ambil makanan pedas atau bercuka serta jangan makan banyak sangat. Itu sahaja pantang larang dia.

2. Lupa baca niat

Ini pun satu lagi alasan kebudak-budakan. Ingat kau tu budak sekolah rendah ke? Kita kan sudah diajar membaca niat sesudah habis berbuka puasa. Selepas habis solat terawih pun ada baca sekali lagi niat puasa. Terakhir sekali masa bersahur pun kita diajar untuk baca niat puasa. Kalau risau sangat pun, boleh baca niat puasa sebulan pada awal Ramadhan.

3. Tidak sahur

Alasan yang tidak boleh diterima pakai. Pernah bertahun-tahun juga penulis tidak bersahur kecuali minum air panas suam kerana perut kembung dan bergas. Dengan berbekalkan air suam dan makan sebiji buah kurma boleh tahan juga puasa sehari suntuk.

4. Terlupa yang dia puasa

Biasa kita akan jumpa orang begini jika puasa sunat atau masa puasa ganti. Mungkin juga pada awal bulan Ramadhan. Tetapi kalau dah sampai penghujung bulan puasa masih terpula, memang ada yang tidak kena.

5. Lampu merah

Ini alasan paling popular untuk golongan wanita. Datang bulan atau haid, jadi tidak boleh persoal. Bila ada kad merah ini, dah kira dapat pas lampu hijau nak makan. Tetapi kalau sampai 30 hari datang bulan ada masuk akal?

6. Saya boleh tahan lapar dan dahaga, tetapi tidak merokok

Hukum merokok dah haram. Jadi anda nak tegakkan yang haram semata-mata tidak mahu berpuasa? MasyaAllah.



Setiap tahun kita akan baca usaha jabatan agama setiap negeri cuba membanteras kegiatan ponteng  puasa. Pesalah kena denda RM300, kena hadiri taklimat, kena naik van mayat dan macam-macam lagi tetapi mereka tidak serik-serik.


Sepatutnya semua kedai makan dan restoran buat seperti ini. Restoran makanan segera pun tidak boleh melayan pelanggan Islam.


Tetapi kaki ponteng puasa ini tidak ambil peduli, makan tengahari mesti bedal juga. Tak kira kedai cina atau india yang tidak halal, semua sapu asal perut kenyang melantak.


Hukum Orang Tidak Berpuasa


‘Telah bersabda Rasulallah (s.a.w): ‘Barangsiapa berbuka puasanya satu hari pada Ramadhan daripada selain rukhsah (yakni, kebenaran atau keringanan yang dibenarkan oleh syara’ kerana keuzuran terlalu tua, perempuan sedang sarat mengandung atau menyusu bayinya) dan tiada sakit, tiada faedah baginya puasa sepanjang hayatnya kesemua puasanya dan jika berpuasa dia akan puasanya.’ 
[Hadith gharib at-Termidzi]


Kemudian dibawalah aku berjalan-jalan dan aku sudah bersama orang-orang yang bergantungan pada urat besar di atas tumit mereka, mulut mereka robek, dan dari robekan itu mengalirlah darah. Kemudian aku (Abu Umamah) bertanya,”Siapakah mereka itu?” Rasulullah SAW menjawab,”Mereka adalah orang-orang yang berbuka (membatalkan puasa) sebelum tiba waktunya.
[HR. Ibnu Khuzaimah dalam shahihnya]

Perbandingan Berapa Jam Sehari Umat Islam Dunia Perlu Puasa

Cuba insaf sikit dan lihat bagaimana umat Islam dinegara lain berpuasa.


Kita di Malaysia hanya perlu berpuasa selama 13 jam sehari. Manakala saudara Islam kita di negara kafir kebanyakkan perlu berpuasa lebih daripada 15 jam sehari.

Kalau anda terpaksa tinggal di Alaska, Sweden atau Iceland memang puasa lama sangat. Lepas berbuka ada masa 1-2 jam sahaja untuk solat Maghrib, solat Isya' dan solat terawih selepas itu terus sambung puasa balik.

Cuba bayangkan dan berinsaflah sedikit. Bagaimana mereka semua boleh  berpuasa dalam keadaan begitu.

Jika anda masih bujang, bolehlah nak main ponteng puasa. Nanti bila dah berumahtangga, tak malu ke dengan anak dan bini yang berpuasa.

Sedangkan budak sekolah rendah pun boleh berpuasa, takkan anda tidak mampu melakukannya? Ramai orang cina dan india yang bukan Islam pun boleh berpuasa.

Jom cuba berpuasa tahun ini.Mula belajar balik seperti kanak-kanak. Puasa sekerat hari dahulu, lepas tu minum air sahaja. Esok cuba lagi.... dan lagi dan lagi sampai dapat puasa penuh.

InsyaAllah anda mampu melakukannya.