Selasa, 24 Jun 2014

Pertandingan Rekacipta Proton City Car 2020



Proton melancarkan pertandingan reka bentuk Proton 2014 bertemakan #protoncitycar2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, belia berumur di antara 13 hingga 25 tahun dijemput bagi menyertai pertandingan itu yang bertujuan mendedahkan mereka kepada dunia reka bentuk kereta dan menyediakan platform bagi golongan berkenaan mempamerkan bakat.

Beliau berkata, pertandingan tersebut merupakan satu daripada cara syarikat berinteraksi secara kreatif dengan generasi muda selain mereka berpeluang memenangi wang tunai, komputer riba Macbook yang dilengkapi perisian reka bentuk serta menjalani latihan industri di Pusat Penyelidikan & Pembangunan Rekabentuk Kreatif Proton.

Justeru itu kami mencari mereka yang bukan sahaja mengambil kira aspek-aspek asas reka bentuk kenderaan, tetapi juga secara kreatif mengintegrasikan konsep masa depan dengan imaginatif dan inovatif berdasarkan tema diberikan iaitu #protoncitycar2020

Pertandingan tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori pertama bagi individu berumur 13 hingga 17 tahun dan kategori kedua bagi mereka yang berumur 18 hingga 25 tahun.

Semua peserta dikehendaki mereka bentuk lakaran bahagian luar kereta di atas kertas bersaiz A3 termasuk 3/4 pandangan hadapan, pandangan sisi dan perspektif pandangan belakang, manakala bagi kategori kedua, peserta juga dikehendaki mereka bentuk bahagian dalaman kereta.

Borang penyertaan boleh didapati di laman web Proton dan di semua cawangan Proton di seluruh negara.

Sumber: Utusan