Isnin, 23 Jun 2014

Berita Palsu Sindiket Curi Organ Kanak-Kanak


Sekali lagi kita dikejutkan dengan satu berita yang amat memeranjatkan! Apa dia? Terdapat satu sindiket haram ditanah air yang menculik kanak-kanak bagi mendapatkan organ dalaman dan dieksport ke Thailand. Berita ini nampak macam disokong dengan beberapa mesej lain mengenai kes cubaan penculikkan dengan menggunakan van putih,  malah ada satu laporan polis juga yang dibuat mengenai cubaan menculik.

Di sebelah ini adalah contoh mesej yang mungkin anda telah terima di media sosial. Khabar angin ini mengatakan bahawa seorang kawan penulis telah kehilangan anak dalam masa 1 minggu. Selepas mencari, kawan beliau sudah jumpa semula anaknya dalam lori di Bukit Kayu Hitam. Kononnya lori ini membawa ayam ke Thailand dengan menyorok beberapa kanak-kanak dalam ruang kargo.

Mesej tersebut mengatakan kanak-kanak tersebut semua sudah dibius supaya tidak sedar dan disorok ditengah lori. Selepas itu disertakan gambar yang cukup menyayat hati dan ngeri. Gambar tersebut adalah anggota badan budak yang sudah dipotong kepala manakala perutnya sudah terburai dan kelihatan seperti sudah hilang organ dalaman yang penting.

Jangan risau berita ini semua palsu. Betul ke palsu? Ya, memang sah palsu. Geng Trending Malaysia menyiasat sumber berita dan gambar palsu ini. Kami bertambah yakin berita ini palsu apabila keluar pengumuman PDRM bahawa kes van putih menculik kanak-kanak untuk sindiket curi organ yang palsu.

Carian di internet mendapati sumber gambar tersebut. Astaga! Gambar itu memang betul sebenarnya. Ia bukan gambar photoshop tetapi ia tiada kaitan dengan kes kita. Bahkan tiada kaitan langsung dengan negara Malaysia. Ia adalah gambar daripada berita negara Nigeria.

Jika anda tidak sampai hati untuk melihat imej ngeri gambar budak tersebut, jangan teruskan, jangan skrol ke bawah. Jika anda lemah semangat, boleh pengsan jadinya atau tidak dapat tidur malam nanti.



Berita ini sebenarnya adalah mengenai seorang bapa yang sanggup menjual anaknya kepada ahli sihir atau bomoh untuk disembelih dalam satu ritual untuk menjadi kaya. Ini kerana bapa tersebut tidak tahan dihina oleh kenalan orang kaya. Sampainya hati seorang bapa melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan ini, bahkan kepada darah dagingnya sendiri.


Itulah dia satu lagi misteri penyebaran berita palsu dimedia sosial Malaysia terungkai.

Apa motif orang yang menyebarkan berita palsu ini di media sosial? Mungkin niat dia baik, memandangkan ibu bapa sekarang tidak pedulikan anak-anak dan sibuk dengan kerja sahaja. Tetapi cara dia tidak betul kerana ia boleh menimbulkan keadaan panik kepada orang awam.

Tak pasal-pasal nanti semua van putih dan lori ayam kena fitnah menjadi pesalah sindiket jahat ini. Kesian dekat mereka yang bekerja mencari rezeki halal.

Oleh itu, jika anda terima lagi berita palsu ini, sila perbetulkan mereka dengan merujuk mereka kepada laman Trending Malaysia ini.

Terima kasih.