Rabu, 18 Jun 2014

Harga Barang & Inflasi Naik Kerana GST Tahun Depan


Harga barangan secara umumnya akan meningkat selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April tahun depan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah.


"Secara keseluruhannya akan ada sedikit peningkatan harga sekiranya kita lihat dari segi purata," katanya.

Beliau menambah inflasi juga dijangka akan naik di negara ini sama seperti pengalaman negara-negara lain seperti Singapura dan Australia.

"Akan ada peningkatan sedikit (tetapi) ia akan reda dalam masa lebih kurang setahun," katanya kepada wartawan selepas majlis dialog media bersama pegawai kanan kerajaan berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013, Selasa.

Menurut Mohd. Irwan, kenaikan harga yang dijangka berlaku itu boleh ditangani dengan penguatkuasaan yang tegas.

"Inilah yang kita bimbang. Kita tidak mahu spekulator, peruncit ambil kesempatan dan mengenakan GST atas barangan tertentu yang tidak sepatutnya. Kita akan dakwa mereka di mahkamah," katanya.

Pada 1 Mei lepas, tunjuk perasaan anti GST yang diadakan di Kuala Lumpur disertai oleh ribuan rakyat.

Kerajaan telah menggerakkan kempen agresif untuk memberi penerangan kepada rakyat mengenai cukai baru itu yang sehingga ini diakui oleh ramai pakar sebagai masih belum difahami.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan memberitahu Parlimen baru-baru ini bahawa GST akan dikenakan ke atas 689 barangan -- dengan 73 daripadanya akan mengalami kenaikan harga, manakala harga bagi 287 barangan akan turun dan 329 barangan lagi tidak berubah harga.

Senarai yang lebih lengkap dijangka akan dikeluarkan pada Januari depan sebagai panduan kepada pengguna untuk membuat anggaran perubahan harga selepas pelaksanaan GST.

Malaysia adalah antara tiga negara terakhir di rantau ASEAN yang belum melaksanakan sistem percukaian GST selain Myanmar dan Brunei.

Sumber: Astro Awani