Sabtu, 7 Jun 2014

Jika Harga Rumah di Malaysia Terus Naik

Industri hartanah dijangka terus berkembang berikutan masih ramai lagi rakyat Malaysia yang belum memiliki kediaman sendiri meskipun kerajaan mengawal kenaikan harga rumah melalui peningkatan kadar Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT).

Ini berikutan kenaikan kadar inflasi berikutan langkah kerajaan bagi mengurangkan defisit fiskal pada kadar 3.5 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2014.

Jika dilihat peratusan pemilikan rumah bagi warga Kuala Lumpur adalah pada kadar 50.8 peratus pada 2012 walaupun penduduk di kawasan ini mempunyai purata pendapatan isi rumah yang tertinggi di Malaysia iaitu RM8,586 sebulan.

Perkara ini jelas menunjukkan terdapatnya jurang di dalam pemilikan rumah terutama di kawasan metropolitan.

Jika jurang ini tidak dirapatkan, apa yang akan berlaku kepada mereka yang berada di bawah garis kemiskinan bandar.

Penduduk negara makin meningkat. Ruang tanah berkurang. Harga rumah melambung naik. Jurang kaya dan miskin makin ketara.

Mungkinkah ini yang akan terjadi di Malaysia 10 tahun akan datang?


Selamat datang ke perumahan setinggan bandar Kuala Lumpur. Rumah adalah berupa deretan dan tindanan kontena yang di ubah suai. Baru menjimatkan kos belanjawan negara.


 Jangan risau, TNB masih akan menyalurkan tenaga elektrik kepada penghuni. Tarif elektrik sudah turun dan bil elektrik menjadi murah kerana penghapusan monopoli IPP tertentu. Suri rumah boleh sterika baju. Makanan segar boleh di simpan dalam peti sejuk mini. Boleh memasak menggunakan dapur elektrik atau ketuhar mikro. Maaf, harga gas masak LPG hanya mampu digunapakai orang kaya sahaja.



Pekerja yang balik kepenatan masih boleh lepak dengan kawan-kawan sambil tonton TV tengok bola World Cup 2024.



Pasangan yang baru berkahwin boleh berbulan madu dalam suasana privasi.



Bagi mereka yang masih bujang boleh berkongsi rumah kontenna. Tetapi tak muat nak masuk set sofa, jadi tengok tv berdiri sahaja.



Orang bujang tidak kisah tidur himpit-himpit. Jangan tinggal bujang bersedudukan sudah. Naya nanti JAWI serbu. Tahun 2024 masih ada JAWI, insyaAllah.



Tandas mana? Ruang tandas mesti ada. Takkan penghuni kena berak kambus macam binatang kot. Mungkin kena kongsi untuk setiap baris kontena. Tandas akan terletak dihujung sekali. Boleh turun guna batang besi bomba. Panjat naik guna tangga.



Kalau dah turun macam bomba, kena pastikan hanya untuk mandi sahaja. Kalau nak buang air besar, turun dengan tanggalah bang. Kang terlepas, kesian dekat orang bawah.



Syabas masih akan terus bekalkan air kepada setinggan kontena. Tetapi catuan tetap ada. Seorang boleh mandi selama 1 minit sahaja. Cukuplah tu kan.



Mana-mana anak dara yang nak mandi tu boleh shampoo rambut siap-siap di bilik dahulu kerana catuan air mandi 1 minit. Dah puas shampoo baru turun bawah mandi. Ingat, 1 minit sahaja tau. Air tak cukup di Kuala Lumpur tahun 2024.


Bagi golongan tua yang tidak berpendapatan, masih ada rumah khas untuk anda. Jangan risau, jasa anda berbakti kepada negara selama ini dihargai. Kalau skim pencen dan duit KWSP tak cukup, boleh pergi tinggal di perumahan kos paling rendah iaitu setinggan sangkar. InsyaAllah di tanggung  kerajaan 50% bayaran sewa. Baki bayar guna duit BR1M.



Bagi mereka yang membayar sewa lebih, boleh menikmati pemandangan saujana. Perumahan orang kaya yang tinggal di flet sebelah. Memang berbaloi.



Kalau dah pencen dan tidak bekerja kerana faktor kesihatan dan sebagainya, boleh lepak tunggu duit BR1M. Sekali sekala boleh melawat anak dan cucu di setinggan kontena kat sebelah kiri. Kalau anak berjaya, dapatlah pergi makan di rumah flet sebelah kanan.



 Beginikah nasib rakyat di Malaysia 10 atau 20 tahun lagi? Seluruh rakyat Malaysia berdoa agar ini tidak akan menjadi kenyataan. Kerajaan harus... tidak... wajib lakukan sesuatu agar ini tidak menjadi kenyataan.


Sekian