Selasa, 15 Julai 2014

Muzik Video Pejuang Al-Qassam oleh Hijjaz


Video klip kumpulan nasyid popular Hijjaz berjudul ‘Al-Qassam’ kian mendapat perhatian, khususnya di kaca televisyen Gaza.

Video klip baharu itu dilancarkan ketika Gaza kini berhadapan dengan serangan udara Israel, di mana angka kematian telah mencecah 186.


Lagu berkenaan yang dinanyikan dalam versi Bahasa Melayu sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia untuk Gaza.

Video klip yang berdurasi 5 minit 34 saat menampilkan aksi-aksi kumpulan Al-Qassam dan perjuangan mereka untuk mempertahankan Palestin.



"Ia berceritakan tentang tentera Al-Qassam dan bagaimana mereka mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan juga Baitul Maqdis. Al-Quran menjadi perlembagaan mereka dan sebagai pahlawan Al-Qassam mereka harus menghafal Al-Quran. Secara amnya, ia tentang kekuatan tentera Al-Qassam," kata seorang anggota Hijjaz Ariffin Rahim kepada Astro AWANI.



Lagu berkenaan dimuatkan dalam album ‘Keranamu Baitul Maqdis’ dimana hasil jualan disalurkan kepada Tabung Gaza Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).


"Kita lancarkan album ini tahun lepas dimana kita berjaya membeli dua atau tiga van ambulans di Syria. Dan apabila kita lihat situasi di Gaza ketika ini, kita melancarkan klip video terbaru ini untuk menggalakkan orang ramai untuk membeli album ini dan semua kutipan akan diberikan kepada Gaza.



"Kami pernah pergi ke Gaza bersama MAPIM. Kami sudah lihat situasi di sana dan kami ingin tahu apa yang  boleh kami sumbangkan. Jadi kami menerbitkan album ini dimana orang ramai boleh mendapatkan album dan turut menyumbang kepada mereka di Gaza," katanya.

Ditanya jika klip video berkenaan untuk menggalakkan umat Islam di Malaysia untuk menjadi pejuang Al-Qassam, Ariffin berkata ia lebih kepada menggalakkan orang ramai untuk berjuang dengan apa yang mereka mampu.

"Kami mahu pendengar atau yang menonton video klip untuk mengambil roh (Al-Qassam) untuk berjuang. Sebagai umat Islam, kita semua bertanggungjawab untuk mempertahankan masjid Al-Aqsa dan Baitul Maqdis.



"Mungkin kita boleh membantu dengan mengorbankan harta benda kita dengan sedekah. Kedua, kita boleh korbankan diri kita dan masa kita dengan menjadi sukarelawan di sana. Soal kemenangan, kita serahkan kepada Allah tetapi apa yang penting adalah usaha kita dan kita membantu dengan ikhlas," akhiri Ariffin.

Saksikan muzik video Al-Qassam di bawah:



Sumber: Astro Awani