Sabtu, 5 Julai 2014

1,065 Pedagang Emas Fail Saman Terhadap Genneva Malaysia



1,065 pedagang emas memfailkan saman terhadap syarikat pelaburan emas Genneva Malaysia Sdn Bhd kerana memungkiri perjanjian jual beli emas menyebabkan kerugian lebih RM146 juta.

Murshid Meam Ghouse Musa Meam dan 1,064 individu lagi selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Raj, Ong & Yudistra di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Isnin lalu




Dalam saman itu mereka menamakan Genneva sebagai defendan pertama dan Bank Negara sebagai defendan kedua.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa mereka mempunyai tiga jenis perjanjian dengan Genneva iaitu pembelian produk emas (pembelian pertama), membeli dan menebus produk emas (pembelian seterusnya) dan menjual produk-produk emas (penjualan emas).

Dalam semua perjanjian itu Genneva didakwa gagal menyediakan produk emas dan membayar balik harga jualan




Kerugian setiap jenis perjanjian masing-masing adalah sebanyak RM48,816,915; RM81,952,471 dan RM15,255,953.

Oleh itu, semua plaintif memohon ganti rugi khas berjumlah RM146,025,339, emas dipulangkan dan perintah untuk mengarahkan Bank Negara menyerahkan emas dan wang kepada mereka.