Isnin, 21 Julai 2014

Berwaspada Apabila Beli Bahan Buat Kuih Raya


Awas jika anda beli dan guna bahan kek dan pastri meragukan! Jangan beli bahan kek dan pastri yang guna logo halal tanpa sijil halal yang sah! 

Minggu lepas sudah tiga lokasi premis diserbu serentak oleh pasukan penguatkuasa JAKIM dan KPDNKK dalam 'Ops Gelatin' dan kesemua produk salah guna logo halal telah disita.



Kira-kira 300 produk dan bahan membuat kuih yang dibekalkan oleh tiga syarikat ke seluruh negara dirampas kerana didapati menggunakan logo halal palsu serta mempamerkannya tanpa perakuan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Satu daripada syarikat yang diserbu itu beroperasi lebih 10 tahun, turut menjual dan memasarkan produk keluarannya di dua pasar raya terkenal di negara ini.







Semua produk berkenaan yang digunakan untuk membuat pastri, biskut dan kek dirampas menerusi Ops Gelatin dilakukan 15 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur serta JAKIM.




Tiga pembekal itu adalah sebuah syarikat pembungkusan dan dua pasar raya di tiga lokasi berasingan iaitu di Taman Bukit Indah, Jalan Klang Lama; Taman Midah, Cheras serta Semenyih.




Antara bahan buat kek dan biskut serta kuih raya yang dirampas. Kesemua bahan ini akan dihantar untuk ujian DNA.



Yang menjadi persoalannya sekarang ini, bagaimana pula dengan status halal biskut dan kuih raya yang dijual dipasaran? Jika pembuat biskut raya ini menggunakan bahan-bahan yang dikhuatiri status halalnya.

Kita semua tahu bahawa kebanyakkan penjual biskut dan kuih raya ini bukannya kilang besar dan tidak ada sijil halal JAKIM yang sah.

Oleh itu, diharap pihak berkuasa yang terlibat dapat menjalankan Ops Gelatin ini pada setiap tahun mulai sekarang. Paling sesuai dibuat sebulan sebelum masuk bulan Ramadhan. Kenapa? Kerana pada masa itulah pembuat kek dan biskut raya memborong bahan untuk bisnes mereka.

Sumber: Berita Harian, JAKIM