Rabu, 2 Julai 2014

3 Orang Pelatih Pusat Rawatan & Pemulihan (CCRC) Larikan Diri



Tiga pelatih Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Kampung Selamat di sini melarikan diri selepas mencuri sebuah motosikal milik kakitangan di situ hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, tiga pelatih lelaki berusia antara 28 dan 30 tahun itu melarikan diri menaiki motosikal jenis Yamaha LC berwarna biru dengan nombor pendaftaran PHF 9860 itu pada pukul 3.30 petang.



"Sebaik sahaja menyedari tiga pelatih itu melarikan diri, petugas CCRC melancarkan operasi mengesan mereka termasuk memaklumkan kepada penduduk kampung mengenai kejadian itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga pelatih berkenaan mengambil kesempatan melarikan diri ketika pertukaran shif kakitangan pagi dan petang.



Siasatan awal mendapati tiga pelatih itu sedang menjalankan kerja-kerja membersihkan pejabat apabila menjumpai kunci motosikal milik seorang kakitangan di situ yang terjatuh, katanya.

Abdul Rahman berkata, polis menjalankan Ops Tutup untuk mengesan tiga pelatih berkenaan sebaik sahaja menerima laporan berhubung kehilangan mereka.



"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat tiga lelaki terbabit boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Sumber: Bernama