Selasa, 17 Jun 2014

CEO eBay PayPal Letak Jawatan Sertai Facebook



David Marcus yang sudah menerajui bahagian pembayaran elektronik PayPal eBay sejak dua tahun lalu akan meletak jawatan untuk mengepalai bahagian khidmat mesej Facebook Inc.

Saham eBay jatuh lebih dua peratus selepas sesi dagangan malam tadi. Di bawah pimpinan Marcus, PayPal berkembang sangat agresif hingga wujud pelbagai khidmat baru termasuk dompet mudah alih untuk pengguna serta sistem jualan setempat (POS) bagi kalangan peruncit.

Kemasukan Marcus menyerlahkan lagi usaha keras Facebook untuk memperkukuhkan lagi ciri mesej peribadi apabila syarikat itu sekarang berdepan saingan sengit daripada khidmat mesej mudah alih popular seperti Snapchat dan Line

Dengan jawatan baharu yang diwujudkan khas untuk Marcus iaitu Naib Presiden Produk Pemesejan, Marcus akan menerajui bahagian Messenger yang sudah tersedia dalam rangkaian sosial itu serta aplikasi mudah alih percuma Messengger.

Secara purata, 12 bilion mesej dihantar menerusi Facebook setiap hari dan aplikasi Messenger pula mempunyai lebih 200 juta pengguna, kata syarikat itu.



Pelantikan Marcus juga mungkin mengisyaratkan hasrat Facebook untuk menukar khidmat mesej kepada sebuah platform urus niaga seperti membeli tiket konsert atau tempahan hotel.

Sumber: Berita Harian