Pihak penganjur dan kontraktor bangunan SUKMA 2014 terpaksa menjilat ludah sendiri kerana insiden yang dijanjikan tidak akan berlaku, sudahpun berlaku. Nasib baik tiada sebarang kes kemalangan yang berlaku. Rekod baik penganjuran sudah pun menjadi hitam.
Kain kanvas baru yang dijadikan bumbung Pusat Akuatik di Kompleks
Sukan Negeri, Kangar terkoyak selepas hanya 10 minit ditimpa hujan
petang semalam. Walaupun mendapat jaminan kain kanvas ini akan tahan hujan lebat seperti kain kapal layar di lautan semasa ribut.
Tidak sampai sehari Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis, Azizan
Ab. Rahman mengesahkan bahawa semua kemudahan serta venue Sukan Malaysia
(Sukma) 2014 selamat digunakan tiba-tiba kanvas yang dijadikan sebagai
bumbung di bahagian kolam renang, Pusat Akuatik, Kompleks Sukan Negeri,
Kangar terkoyak.
Insiden yang tidak diduga itu terjadi selepas kira-kira hanya 10 minit hujan, sehingga menyebabkan kanvas itu terkoyak
di bahagian tengah kerana tidak dapat menampung lebihan takungan air.
Mujur, tiada insiden lebih buruk berlaku. Pembekal memberi jaminan kain itu tidak akan menampung air kerana air hujan boleh tembus material kanvas teknologi terbaru ini.
Bagaimanapun, kini timbul persoalan siapa yang harus bertanggungjawab
ekoran insiden tersebut sehingga ada yang didakwa mula 'lepas tangan'
dan mula menuding jari antara satu sama lain.
Mari kita tunggu dan lihat drama tuding jari tuduh menuduh siapa yang bersalah dan perlu pikul tanggungjawab dalam kes ini. Berapa tahun kita perlu tunggu untuk ketahu jawapan kes ini?
Insiden Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak yang runtuh pada tahun 2009 masih menjadi tanda tanya sehingga hari ni. Kos stadium tersebut menggunakan wang rakyat sebanyak RM270 juta.
Maju sukan untuk negara.