Rabu, 7 Mei 2014

Letupan Bom di Hatyai Lagi


Bom meletup lagi di selatan Thailand. Ada sesiapa ambil kisah? Semua dah tak heran. Malas nak ambil tahu. Dah jadi kejadian biasa. Esok lusa nanti letuplah lagi, apa nak kecoh-keoch.

Sebanyak empat letupan bom menggegarkan bandar ini, hari ini menyebabkan lapan orang cedera, termasuk dua anggota polis.

Letupan berlaku pada kira-kira pukul 1.55 petang (2.55 petang waktu Malaysia) di empat lokasi iaitu di hadapan kedai serbaneka di Polpichai Road berhampiran Institut Teknologi Mekanikal Hatyai, kawasan perumahan polis bertentangan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Hatyai; Stesen Kereta Api Hatyai dan Kompleks Membeli-belah Robinson.



Gabenor Wilayah Songkhla, Krissada Boonrat berkata, letupan pertama berlaku di hadapan kedai serbaneka mengakibatkan sekurang-kurangnya lima orang cedera, diikuti letupan kedua di kawasan letak kereta berhampiran balai polis Hatyai, menyebabkan dua orang anggota polis dan seorang orang awam cedera.

Krissada berkata, letupan ketiga dan keempat berlaku di Stesen Kereta Api Hatyai dan gedung membeli-belah, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

“Letupan pertama dan kedua berlaku selang 25 minit, dan kesemua mangsa dikenal pasti berusia antara 19 dan 53 tahun. Mereka dihantar ke Hospital Hatyai untuk rawatan.

“Tiada laporan membabitkan warga asing," ujarnya.

Bom juga ditemui diletakkan di pintu masuk Prince of Songkhla University tetapi berjaya dimatikan oleh pihak berkuasa.



“Kami juga mengadakan sekatan di beberapa laluan utama di pusat bandar selain pemeriksaan ke atas mereka yang keluar dan masuk ke bandar ini," katanya.

Sementara itu, Konsulat Malaysia ke Songkhla mengesahkan, tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden itu.

Polis mendakwa kumpulan pemisah bertanggungjawab atas kejadian itu.

Disember lalu, sebanyak 24 orang dilaporkan cedera dalam satu letupan bom yang menggegarkan bandar sempadan Danok dan Padang Besar, dekat Bukit Kayu Hitam.

Pada 2012, serangan bom kereta yang dilancarkan oleh kumpulan pemisah Islam di pusat bandar Hatyai mengorbankan 14 orang dan lebih 300 yang lain cedera.

Tidak selamat lagi untuk kita pergi melancong ke Hatyai. Kejadian kes letupan bom ini tidak akan berkurang malah sudah menjadi satu sinonim dengan kejadian letupan.

Banyak lagi nyawa akan melayang selagi kerajaan Thailand tidak mahu duduk berbincang.