Jumaat, 27 Jun 2014

Betul ke Ada Bendasing Berbahaya Dalam Oat Choco?


Memang semenjak media sosial menjadi sumber hebahan utama rakyat, sudah banyak kes negatif mengenai makanan yang sudah kita terima. Antara kes tersebut adalah cokelat Cadbury, bihun Cap Masjid, kicap ABC, kopi Starbucks dan banyak lagi.

Kes terbaru ini adalah mengenai biskut Oat Choco keluaran TwinFish. Apa kesnya? Ada kandungan tambahan bukan sekadar zat besi, tetapi kepingan logam besi. Betul ke?

Sebenarnya berita ada besi dalam oat choco ini sudah lebih sebulan menjadi viral tetapi ia masih tidak masuk ke media utama kerana isu ini tidak meletup seperti kes-kes yang lain sebelum ini.



Beginilah rupa bentuk pakej produk Oat Choco dan isinya sekali. Produk ini adalah seperti bertih jagung makanan sarapan pagi tetapi ia sudah dipadatkan dengan cokelat putih. Rasanya juga tidak manis sangat kerana ia dipasarkan sebagai makanan kesihatan.

Jenama Oat Choco yang original ini sudah memasuki pasaran pada bulan Mei tahun 2013 lagi. Untuk pengetahuan anda, jenama Oat Choco TwinFish ini ada sijil halal yang diiktiraf oleh JAKIM. Terdapat juga bukti ujian makmal untuk DNA babi (porcine) dan asid lemak.




Dalam lebih sebulan yang lalu telah keluar berita viral di media sosial mengenai besi yang terlekat dalam Oat Choco. Kepingan logam ini bukan kecil, malah saiznya nak sama besar dengan Oat Choco itu sendiri.

Besi apakah ini? Pengedar mesej ini juga tidak membuat laporan polis ataupun memberikan kita salinan aduan rasminya kepada syarikat TwinFish. Oleh itu geng Trending Malaysia menyiasat adakah benar dakwaaan mesej viral ini.

Dalam siasatan kami terdapat juga mesej viral lain yang tidak disahkan kebenarannya. Bukti bergambar menunjukkan ada syiling dan ada juga kaca dalam bungkusan yang sudah terbuka. Seperti  biasa, tidak tahu siapa yang mulakan penyebaran berita tersebut dan juga tiada laporan polis yang dibuat. Ini menunjukkan seperti ada agenda tertentu disebalik penyebaran khabar angin ini.




Kami menyiasat Facebook Oat Choco TwinFish sendiri. Nampaknya mereka sudah sedar mengenai berita viral ini. Tiada mesej rasmi mengesahkan atau menafikan kes ini tetapi mereka menunjukkan bukti laporan pengesanan logam dalam pengeluaran produk. Ini cuma salah satu langkah QC yang di buat oleh mereka.

Terdapat juga bukti ujian pengesanan logam pada proses akhir pengeluaran produk. Production line akan terhenti dengan serta merta jika mengesan logam walaupun satu paku kecil. Jadi agak mustahil boleh ada bendasing logam atau besi sebesar Oat Choco tersebut.



Mungkinkah kes ini ada agenda atau mainan pihak-pihak tertentu seperti pesaing. Apabila mereka hendak masuk pasaran, mereka akan menyerang pemain utama. Apabila jualan pemain utama terganggu, mereka akan masuk menjadi produk pengganti. Wallahualam.

Seperti biasa ingin kami tekankan bahawa kami tidak dibayar oleh mana-mana pihak untuk menulis mengenai kes ini. Anda boleh pergi sendiri muat turun kesemua sijil halal dan laporan makmal serta tonton video demonstrasi ujian pengesanan logam dalam pengeluaran produk mereka.

Facebook TwinFish Oat Choco: www.facebook.com/twinfish.oat

Nasihat kami adalah apabila anda mendapat berita mengenai sesuatu isu yang kurang jelas kebenarannya, sila lakukan siasatan sendiri sebelum menyebarkan mesej tersebut  menjadi viral. Anda tidak mahu terlibat dalam agenda jahat sesiapa dan dapat dosa saham memfitnah.

Terima kasih kerana meluangkan masa membaca.