Selasa, 17 Jun 2014

Agong Seru Masyarakat Islam Bersatu Hati Hadapi Musuh



Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini bertitah masyarakat Islam perlu bersatu hati dan bersepakat dalam menghadapi musuh Islam yang sentiasa mencari jalan untuk menghancurkan agama suci itu.

Ketika merasmikan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-56, baginda bertitah selagi kesatuan umat tidak mampu dicapai, maka selagi itulah kejayaan yang dijanjikan Allah akan tertangguh.

Baginda bertitah Al-Quran telah menyatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa kecuali mereka berusaha mengubah segala kepincangan dalam diri mereka sendiri.

"Justeru itu, Beta sekali lagi menyeru ayuhlah kita bersatu padu. Umat Islam pasti kembali utuh dan mampu menghadapi segala rintangan serta ancaman musuh.

"Hindarilah permusuhan dalam masyarakat. Bangunlah mereka yang masih lena dibuai kelekaan fatamorgana dunia dan kembali berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai Islam sejati bagi mengembalikan kesatuan umat," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim turut menyeru masyarakat Islam agar kembali kepada ajaran Islam yang termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah kerana Islam adalah agama rahmah alamiah, yang menjadikan umatnya memiliki sifat atau watak berimbang.



Baginda juga meminta masyarakat Islam mengambil iktibar kejatuhan Kerajaan Saba' yang sombong, angkuh, kufur nikmat kemewahan pemberian Allah serta menyekutukan Allah dengan menyembah matahari dan bintang.

"Kisah Kerajaan Saba' ini benar-benar memberi pengajaran dan iktibar akibat mengkufuri nikmat kurniaan Allah dengan sikap terlalu tamak, mengejar keduniaan sehingga menjadikan mereka sombong dengan kemewahan dunia, ingkar, enggan bertaubat serta taksub dengan keduniaan," titah baginda.

Baginda bertitah sikap Kerajaan Saba' telah menghancurkan masyarakatnya sekelip mata dengan ujian Allah yang menurunkan banjir besar.

Sumber: Bernama