Selasa, 17 Jun 2014
Mat Rempit Superman
Dua mat rempit masing-masing dipenjara sehari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala Superman.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu terhadap penuntut kolej, Kamaruddin Ismail, 19, dan penghantar Pizza, Mohamad Hasnol Yusuf Harun, 19, dan memerintahkan kedua-duanya menjalani hukuman penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Kamaruddin yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ 135 warna hijau dan Mohamad Hasnol yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda warna biru didakwa menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala Superman dengan meletakkan dada pada tangki motor serta mengangkat kaki lurus ke belakang yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.